Thursday, December 10, 2009

Tindakan bila asap kereta bertukar warna

Posted on 10:12 PM by nik zhafran

LAZIMNYA, pengeluaran asap pada ekzos bagi kereta baru tidak perlu dibimbangkan. Tetapi, setelah beberapa tahun menggunakannya, anda tentu bimbang dengan asap ekzos berwarna kelabu dan hitam. Ini menunjukkan ada yang tidak kena pada enjin kereta anda terutama bahagian karburator.

Sebenarnya dengan melihat warna daripada asap ekzos, anda dapat meneliti proses pembakaran yang terjadi dalam silinder.

Antara yang patut diberikan perhatian anda adalah dengan menjawab pertanyaan seperti berikut:

Pertama, adakah asap kereta anda tidak berwarna atau sedikit biru. Jika ini berlaku, anda seharusnya lega kerana ia menunjukkan proses pembakaran baik dengan nisbah perbandingan campuran petrol-udara yang tepat.

Jika asap berwarna kuning atau coklat, bermakna terlalu sedikit petrol yang masuk (campuran terlalu sedikit).

Bagaimana pula jika asap berwarna hitam? Ini bermakna berlaku proses pembakaran yang tidak sempurna kerana terlalu banyak petrol yang masuk. Asap yang keluar berwarna putih atau kebiru-biruan pula bermakna minyak pelincir ikut terbakar. Dalam keadaan sejuk biasanya asap ekzos juga berwarna putih kerana adanya wap air; keadaan seperti ini bagaimanapun biasa terjadi pada setiap enjin.

Dalam keadaan asap ekzos berwarna hitam, ada beberapa kemungkinan yang boleh menyebabkan keadaan itu berlaku termasuk penapis udara tersumbat, injap udara (choke) tertutup dan karburator rosak.

Untuk mengatasinya, mula-mula periksa sama ada penapis udara tersumbat. Ketika enjin bergerak, bukalah penapis udara. Jika dengan kaedah itu putaran enjin bertambah tinggi dan asap tidak lagi hitam, maka jelaslah penapis udara kotor. Bersihkan penapis udara itu.

Selain itu periksa sama ada injap udara (choke) tertutup. Jika tertutup atau tidak terbuka penuh ketika enjin sudah panas, ia akan menyebabkan campuran petrol-udara berlebihan. Untuk memeriksa keadaan itu, bukalah penapis udara dan lihatlah karburator dari sebelah atas. Jika choke tidak terbuka penuh, perbaikilah kedudukannya.

Asap hitam kerana karburator rosak. Jika ini terjadi, bawalah kereta anda ke bengkel.

Asap ekzos berwarna putih apabila minyak pelincir terlalu banyak mengalir masuk ke dalam ruang bakar. Ini terjadi kerana omboh, gelang omboh, dinding silinder, injap dan laluan injap rosak.

Minyak pelincir juga boleh masuk ke ruang bakar jika gasket di kepala silinder rosak sehingga air dapat masuk ke dalam ruang bakar. Wap air yang terjadi kerana panas akan keluar bersama-sama asap ekzos menyebabkan asap berwarna putih.

Namun demikian, biasanya dapat dibezakan antara warna putih wap dan putih akibat minyak pelincir. Wap minyak pelincir berwarna putih dan mengeluarkan bau tertentu.

Related Post



No Response to "Tindakan bila asap kereta bertukar warna"

Leave A Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

©Hak Cipta Terpelihara 2009 K.M.S. SDN. BHD.. by NZ SDN. BHD.